Berangkat tiba di Bangkok, Thailand




Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas

 





BANGKOK, THAILAND, Ahad, 28 April. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di Bangkok, Thailand bagi mengadakan Keberangkatan Rasmi selama dua hari yang bermula hari ini hingga 29 April 2024.

 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Suvarnabhumi International Airport, Bangkok dialu-alukan oleh Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Srettha Thavisin.

 

Kebawah DYMM kemudiannya disembahkenalkan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Tenaga, Tuan Yang Terutama Pirapan Salirathavibhaga, selaku Menteri Pengiring; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai.

 

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah DYMM ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Thailand, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Sahari bin Pengiran Haji Salleh.

 

Tahun 2024 menandakan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik antara NBD dan Thailand sejak dijalinkan pada 1 Januari 1984.

 

Keberangkatan Rasmi ini juga akan memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.


Close